LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta bakal berdepan musim panas yang sibuk apabila jendela perpindahan dibuka apabila dilaporkan bersedia untuk melepaskan ramai pemain pemain untuk membawa masuk pemain-pemain baharu.
Arteta dilaporkan mahu meningkatkan dana pasukan itu bagai memburu empat pemain yang dianggap berprofil tinggi untuk persediaan musim depan bagi meneruskan pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Musim ini menyaksikan The Gunners berpotensi untuk mengakhiri musim tanpa sebarang trofi selepas tersingkir dalam dua saingan domestik merebut trofi selain ketinggalan agak jauh di belakang pendahulu, Liverpool pada kempen EPL.
Bagaimanapun, Arsenal masih lagi bersaing di Liga Juara-Juara, namun prestasi yang tidak menentu dihadapi menyebabkan legenda pasukan, Paul Merson menganggap misi mereka merangkul gelaran pertama sangat sukar.
Arteta dilapor bakal menghantar pulang dua pemain pinjaman mereka, Raheem Sterling dan Neto, manakala tiga pemain, Thomas Partey, Jorginho dan Kieren Tierney yang bakal mengakhiri kontrak akan dilepaskan.
Selain itu, dua pemain pertahanan, Oleksandr Zinchenko dan Jakub Kiwior juga tidak akan mendapat tempat dalam skuad Arteta musim depan dan pihak kelab bersetuju untuk melepaskan khidmatnya untuk mana-mana pasukan yang berminat.
Beberapa pemain baharu yang dilapor berada dalam radar Arsenal ketika ini adalah penggempur RB Leipzig, Benjamin Sesko selepas sukar untuk mendapatkan penyerang idaman, Alexander Isak.
Mereka juga dilapor berusaha untuk mendapatkan tandatangan pemain tengah Real Sociedad, Martin Zubimendi, pemain muda Norway, Sverre Nypan serta penjaga gol Espanyol, Joan Garcia. – AGENSI