WIRA Johor Darul Ta’zim (JDT), Alvaro Gonzalez menganggap dua gol yang dihasilkannya ketika menewaskan Central Coast Mariners 2-1 pada aksi Liga Juara-Juara Elit (ACLE), kelmarin beri bagaikan memberi ‘nyawa kedua’ buat kariernya.
Bekas pemain Villarreal dan Marseille itu agak sukar untuk mempercayai apa yang dilaluinya pada debut bersama Harimau Selatan apabila berjaya meledak kedua-dua gol berkenaan dan menghadiahkan kemenangan kepada pasukannya.
“Kemenangan ini cukup penting buat pasukan dan buat diri saya sendiri kerana saya bekerja (berlatih) secara berseorangan untuk tempoh tujuh bulan.
“Jadi, untuk membantu pasukan dan menjaringkan dua gol pada penampilan semula menjadi sesuatu yang cukup hebat. Kami bekerja keras untuk dapatkan kemenangan ini,” katanya.
Keputusan itu membuka peluang besar buat JDT memburu slot ke pusingan 16 terbaik, namun pengendalinya, Hector Bidoglio memberi ingatan kepada semua pemain supaya tidak terlalu lalai dengan kejayaan kali ini.
“Kami tahu perlawanan ini agak sukar, tetapi saya gembira dengan prestasi semua pemain. Kami sentiasa tunjukkan yang kami mahu menguasai permainan hingga memperoleh dua gol.
“Ia adalah kemenangan penting dan sekarang kami perlu terus bekerja, fokus untuk hadapi perlawanan seterusnya. Kami masih ada tugasan penting dan sudah pasti kami akan lakukan sehabis baik untuk layak,” katanya.