KUALA TERENGGANU – Lapan operator bot pelancong yang membawa penumpang melebihi muatan ditetapkan di perairan negeri ini dikompaun dalam Ops Bersepadu dilancarkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga sepanjang musim cuti persekolahan ini.
Ops Bersepadu yang mendapat kerjasama Jabatan Laut Wilayah Timur itu memberi tumpuan di sekitar perairan daerah ini dan Besut.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, operasi terbabit bagi memantau bot-bot komersial yang beroperasi di perairan Terengganu mematuhi Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 ditetapkan.
Beliau berkata, pemantauan mendapati aktiviti bot penumpang termasuk membawa pelancong ke rangkaian pulau peranginan agak aktif sepanjang musim cuti persekolahan ini bermula pertengahan bulan lalu.
“Tumpuan diberikan terhadap membanteras gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan kru bot terlibat serta pematuhan peraturan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Sepanjang tempoh pemantauan tersebut, sebanyak 51 bot yang membawa 270 penumpang telah diperiksa,” katanya di sini hari ini.
Zulafendy berkata, sebanyak lapan notis kompaun telah dikeluarkan terhadap operator bot yang membawa penumpang melebihi had dibenarkan.
Beliau berkata, sebahagian operator bot pelancong itu juga didapati melanggar peraturan dengan membawa barangan kargo. – KOSMO! ONLINE