GEORGE TOWN – Seorang wanita warga Indonesia terpaksa menahan kesakitan apabila tangan kanannya tersepit mesin memerah tebu dalam kejadian di Flat Uda, Jalan Tanjung Tokong di sini, hari ini.
Mangsa berusia 45 tahun sebelum itu dikatakan sedang memproses air tebu di sebuah premis makanan kira-kira pukul 9.30 pagi.
Akibat kejadian itu, beberapa jari mangsa hingga pergelangan tangan cedera parah.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.39 pagi dan operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal.
Menurutnya, operasi tersebut turut mendapat bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM)
“Pasukan bomba mengeluarkan tangan kanan mangsa yang tersepit di celah mesin tebu menggunakan peralatan khas kurang lima minit.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang oleh pihak APM untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil,” katanya di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE