KLANG – Seorang pelayan restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudara perempuannya, tiga tahun lalu.
Tertuduh lelaki berusia 22 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noridah Adam.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun (ketika kejadian) bagi tujuan seksual di sebuah rumah sekitar Kuala Selangor, kira-kira pukul 10 malam, 2 Mei 2022.
Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ayuni Jamri tidak menawarkan jaminan mengambil kira faktor mangsa tinggal bersama tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh tidak diwakili peguam merayu jaminan kerana mempunyai tanggungan ibu dan dua adiknya.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan jaminan dan sebutan kes ditetapkan pada 22 April depan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan datuk angkat kepada mangsa dipenjara selama enam tahun dan satu sebatan oleh mahkamah sama, Jumaat lalu selepas mengaku atas pertuduhan amang seksual dilakukan terhadap mangsa sama. – KOSMO! ONLINE