KUALA LUMPUR – Skuad badminton negara membuka kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di China dengan langkah kiri selepas tewas kepada pasukan Hong Kong 2-3, sebentar tadi.
Kekalahan tersebut menyaksikan skuad badminton negara dalam radar bahaya untuk pulang lebih awal sekiranya mereka turut tewas dalam perlawanan kedua menentang pasukan pilihan, Indonesia esok.
Pada aksi pembuka tirai Kumpulan B tersebut, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang turun membuka gelanggang di Pusat Sukan Qingdao Conson tersebut tewas kepada pasangan Tang Chun Man-Ng Tsz Yau dalam tiga set permainan.
Biarpun Pang Ron-Su Yin bermula dengan baik dengan memenangi set pertama, namun pasangan muda negara itu gagal mengekalkan momentum cemerlang sebelum tumpas 21-17, 17-21, 11-21 dalam tempoh 59 minit perlawanan.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-12-at-2.19.20-PM-1.jpeg)
Bagaimanapun, kekecewaan tersebut jaya ditebus oleh pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa apabila kembali mengikat kedudukan 1-1 dengan menumpaskan Saloni Samirbhai Mehta menerusi keputusan straight set 21-18, 21-18 dalam tempoh 46 minit permainan.
Ketika Malaysia mencari kemenangan kedua, pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh dilihat kecewa apabila tewas ditangan pemain ranking No. 21 dunia, Lee Cheuk Yiu.
Justin yang turun selaku pemain No. 53 dunia terpaksa mengerah segala kudratnya sebelum tumpas dengan kekalahan straight set 19-21, 16-21 dalam tempoh 46 minit sekali gus memberikan Hong Kong kelebihan 2-1.
Harapan untuk melihat Malaysia untuk menyamakan kedudukan turut tidak berhasil apabila beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing turut tumpas ketika berdepan Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 17-21, 14-21 dalam tempoh 50 minit.
Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun berjaya menebus kekecewaan negara apabila gandingan ranking No. 12 dunia itu menewaskan Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-11.
Hasil keputusan tersebut, skuad negara kini perlu mencari jalan untuk bangkit ketika menentang Indonesia esok bagi memastikan peluang mereka untuk mara ke pusingan seterusnya terus terbuka memandangkan hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.
Semalam, Indonesia melakukan kejutan apabila mudah menewaskan Hong Kong dengan keputusan 5-0 sekali gus memberi amaran kepada skuad negara pada pertemuan esok.
Sebagai rekod, pada edisi 2023, Malaysia berjaya melepasi peringkat kumpulan namun harapan untuk ke peringkat separuh akhir lebur selepas pasukan negara tumpas kepada China menerusi keputusan 2-3. -KOSMO! ONLINE