IPOH – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja lelaki 16 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Faiz Zaini, 37, yang juga seorang jurulatih badminton bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh kemaluan, meraba dada serta bahagian belakang badan mangsa selain mencium pipi bagi maksud seksual dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Taman Seri Rapat, Ipoh pada pukul 7.15 petang, 20 Januari 2025 dan 2.30 pagi, 21 Januari 2025.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah tidak menawarkan jaminan namun sekiranya dibenarkan mahkamah, beliau mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Bagaimanapun, Muhammad Faiz yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan minimum atas alasan bekerja sebagai jurulatih badminton dengan pendapatan bulanan RM700 selain menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450.
Katanya, dia juga menanggung dua anak berusia dua dan satu tahun yang kini dijaga bekas isteri dengan memberi nafkah bulanan sebanyak RM500. – KOSMO! ONLINE