KLANG – Seorang bapa berdepan hukuman penjara dan sebatan apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kandung perempuannya, hujung tahun lalu.
Pekebun berusia 34 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi tujuan seksual terhadap anak perempuannya berusia tujuh tahun di bilik tidur sebuah rumah di sekitar Kapar di sini, pada Disember tahun lalu dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dengan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ayuni Jamri tidak menawarkan kos ikat jamin dengan mengambil kira faktor tertuduh merupakan bapa kandung dan tinggal bersama mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan kerana mempunyai tanggungan keluarga dan bergaji RM700 sebulan sebagai pekebun.
Noridah kemudian membenarkan kos ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diperintah tidak tinggal bersama mangsa sepanjang perbicaraan kes.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 April depan. – KOSMO! ONLINE