SEBERANG PERAI – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Ihsan Mohd. Kamarun Zaman, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyamar sebagai penjawat awam iaitu anggota polis di tepi jalan susur keluar Sungai Dua dalam daerah Seberang Perai Utara pada pukul 8 malam, 29 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 22 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.
Rabu lalu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki yang mempunyai 14 rekod lampau direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun dan menyamar polis dalam kejadian di susur keluar Sungai Dua.
Suspek menunggang motosikal jenis Honda RSX dikatakan menahan mangsa berusia 40 tahun sebelum sempat melarikan wang berjumlah RM200. – KOSMO! ONLINE