PETALING JAYA – Suasana pilu mengiringi upacara pengebumian jenazah anak bongsu pasangan pelakon Ayu Raudhah dan bekas pemain bola sepak negara, Zaquan Adha Abdul Radzak sekitar pukul 9.30 pagi tadi.
Jenazah Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha yang meninggal dunia semalam itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, Seremban, Negeri Sembilan.
Semalam, Zaquan berkongsi berita duka dalam Instagramnya selain memohon orang ramai dapat mendoakan dia dan isteri kuat menghadapi kehilangan tersebut.
Punca kematian Muhammad Aisy Al Rees yang baru berusia enam bulan itu bagaimanapun tidak didedahkan. Difahamkan, Muhammad Aisy yang meninggal dunia ketika tidur dan dibawa ke Hospital Rembau, Negeri Sembilan untuk bedah siasat.
Selain Muhammad Aisy yang selamat dilahirkan pada 2 Ogos tahun lalu, Zakuan dan Ayu mempunyai enam orang anak termasuk Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann,11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang berusia setahun. – KOSMO! ONLINE