Kuala Lumpur – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai melakukan ugutan bunuh serta menggertak ingin merosakkan sebuah restoran di Jalan Kasipillay, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pemilik restoran menerima panggilan telefon daripada lelaki dikenalinya seterusnya memaki hamun mangsa dengan kata-kata kesat, pukul 7.50 pagi semalam.
Menurutnya, suspek juga bertindak mengugut ingin datang ke restoran mangsa untuk membunuhnya dan merosakkan premis.
“Ekoran kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. Suspek berusia 40 tahun ditahan pukul 12.15 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Sukarno, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan berkait pemerasan.
Ujarnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.