fbpx

Pura-pura tanya rumah sewa sebelum samun rantai loket warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian samun melibatkan wanita warga emas masalah penglihatan semalam.

SETIU – Niat baik seorang wanita warga emas mahu membantu orang menunjukkan rumah sewa bertukar duka apabila rantai emas dan loket yang dipakai disamun di Felda Chalok Rahmat di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1.15 tengah hari itu, mangsa berusia 72 tahun yang mengalami masalah penglihatan cedera pada dahi akibat dipukul suspek dipercayai menggunakan serpihan batu simen.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sebelum kejadian, mangsa yang baru pulang dari rumah jirannya didatangi wanita berusia dalam lingkungan 30-an yang berpura-pura bertanyakan rumah sewa.

“Mangsa yang mempunyai masalah penglihatan tidak mengesyaki apa-apa lalu meminta tangannya dipimpin suspek bagi membolehkan dia menunjukkan lokasi rumah sewa tersebut.

“Suspek berpura-pura mahu melihat rumah sewa tersebut sebelum mengajak mangsa duduk atas katil di dalam bilik premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Zain berkata, suspek kemudian menolak warga emas tersebut hingga rebah sebelum menekup muka mangsa menggunakan sehelai kain.

Tambahnya, berlaku pergelutan sebelum suspek memukul dahi warga emas itu dengan serpihan batu simen.

“Suspek kemudian meragut rantai emas berloket dipakai mangsa sebelum melarikan diri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI