PETALING JAYA – Lebih sebulan meringkuk dalam penjara, pelawak Along Cham menyifatkan pengalaman berada di dalam tahanan Penjara Sungai Buloh sebagai detik menginsafkan.
Bagaimanapun, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, tidak menyangka penjara bukanlah tempat menakutkan seperti yang digembar-gembur kebanyakan orang.
“Pengalaman saya ketika berada di ‘madrasah’ Sungai Buloh (Penjara Sungai Buloh) saat terbukanya tirai besi, macam-macam perasaan saya.
“Kita sebelum ini dimomokkan dengan pelbagai cerita tetapi tidak sangka, saya disambut dengan senyuman anggota mengawal.
“Mereka beri semangat. Dalam penjara, banyak pengajaran dan input saya dapat,” katanya dalam sebuah audio siar.
Pengalaman lebih menarik apabila pelakon filem Wawa Semput itu didatangi seseorang yang didakwa Timbalan Pengarah Penjara Sungai Buloh untuk memastikan dia berada dalam keadaan baik.
“Sampaikan pihak atasan, iaitu Timbalan Pengarah Penjara Sungai Buloh datang berjumpa saya pada hari kedua saya di sana.
“Dia mahu pastikan saya tidak mengalami masalah mental dan sebagainya.
“Saya ditempatkan di blok keselamatan dinamakan Blok Tawakal, iaitu untuk kes yang mendapat liputan meluas,” jelasnya.
Kongsinya lagi, individu terpenting di penjara itu memberikan semangat dan nasihat yang cukup bermakna buatnya.
“Timbalan Pengarah itu datang untuk berjumpa saya sehingga buatkan saya rasa terperanjat.
“Perkara pertama dia buat ketika berjumpa, dia pegang bahu saya dan cakap saya belum lagi dilabel banduan. Dia mahu saya selepas keluar dari sini jadi lebih kuat. Dia minta saya berjanji.
“Bayangkan Timbalan Pengarah Penjara Sungai Buloh yang datang cakap pada saya begitu. Dia cakap selagi saya tidak buat salah dalam penjara, mereka tidak akan berkasar dengan saya,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Along membuat sujud syukur di kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) daripada satu pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis.
Dalam perkembangan berkaitan, Along turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan lain melibatkan pemilikan dan penggunaan dadah. – KOSMO! ONLINE