PENCARIAN bakat satu dalam sejuta yang telah berlangsung selama dua bulan akhirnya bernoktah selepas Marygrace dinobatkan sebagai juara Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) pada Ahad lalu.
Bergelar juara untuk program yang kembali selepas 15 tahun, pemilik nama penuh Marygrace Jane Penserga itu mengakui perkara tersebut tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
Bagai mimpi jadi kenyataan, itu adalah ayat pertama yang meniti di bibir Marygrace.
“Saya masih rasa seperti bermimpi. Adakah ini realiti? Perasaan saya pastinya sangat bersyukur dan Allah SWT mendengar doa saya.
“Kemenangan ini di luar jangkaan dan tak pernah terfikir pun untuk bergelar juara kerana saya hanya mahu mencari pengalaman serta tambah baik kemampuan diri.
“Bagaimanapun, saya gembira dan berterima kasih dengan para juri yang percaya dengan bakat diri ini,” katanya kepada Kosmo! Online.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/MARYGRACE-FINALIS-CSOIAM.jpeg)
Membawa pulang wang tunai RM500,000, penyanyi bertubuh genit itu menyifatkan hadiah tersebut sebagai tiket ekspres untuk membawa kebahagiaan kepada keluarganya.
“Sebenarnya sangat mustahil untuk saya bertarung dengan bakat dari seluruh negara. Apabila bergelar juara, ini tiket untuk happy ending.
“Ibu pun semakin tua jadi ini peluang untuk saya tunaikan tanggungjawab dengan merealisasikan impian keluarga.
“Jadi, saya nak jadi orang pertama menunaikan semua hasrat itu,” tuturnya.
Antara impian yang mahu direalisasikan ialah membawa ratu hatinya itu menunaikan ibadah umrah.
“Impian nak bawa ibu pergi umrah sebenarnya sudah lama saya simpan. Kita pun hanya hidup sekali dan sangat singkat.
“Impian ibu dan keluarga impian saya juga.
“Jadi, saya ambil risiko sertai program ini dan syukur dengan kemenangan ini,” jelasnya yang turut ingin membantu golongan kurang berkemampuan menerusi wang kemenangan tersebut.
Ditanya mengenai pembelajaran terbesar yang diperoleh sepanjang bergelar peserta CSOIAM, jawab penyanyi berusia 24 tahun itu, tidak mudah putus asa.
“Banyak yang saya belajar tetapi perkara paling besar adalah tidak putus asa.
“Banyak kali rasa terlalu penat tetapi lama-kelamaan saya jumpa semangat untuk terus bangkit dan berjuang.
“Apa pun terima kasih kepada seluruh produksi CSOIAM, barisan juri dan semua peserta atas pengalaman yang hebat ini,” katanya.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/MARYGRACE-3.jpeg)
Juri
Sementara itu, juri tetap CSOIAM, Ziana Zain menegaskan, Marygrace sememangnya layak menyandang gelaran juara program itu.
“Marygrace layak dijulang sebagai juara CSOIAM, persembahannya pada malam final memang outstanding.
“Sepanjang lapan minggu bertanding, dia berjaya membuktikan kemampuan diri dengan menyanyikan pelbagai genre lagu,” katanya.
Seorang lagi juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim berkata, jurang markah setiap peserta tidak terlalu besar.
“Jumlah markah keseluruhan peserta tidak jauh beza tetapi rezeki malam ini berpihak kepada Marygrace.
“Saya tidak nafikan ada persembahan peserta yang kurang ‘rasa’ dan seperti tiada klimaks, namun semuanya tetap berjaya menyerlahkan kemampuan diri di pentas final ini,” jelasnya.
Diiktiraf sebagai juara selepas meraih markah dan undian tertinggi, Marygrace membawa pulang wang tunai RM500,000, sebuah kereta bernilai RM200,000 dan kontrak rakaman eksklusif di bawah Alternate Records & Talents selama dua tahun.
Pada malam final lalu, Kai Deva yang berada di tempat kedua membawa pulang wang tunai RM50,000.
Anak kelahiran Pulau Pinang, Jimi pula diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dan diikuti Zazzleen di posisi keempat. – KOSMO! ONLINE