GEORGE TOWN – Sebuah gudang menyimpan barang yang beroperasi di atas bukit berhampiran Green Garden, Ayer Itam di sini musnah dalam kebakaran petang tadi.
Kebakaran tersebut melibatkan premis kelas C iaitu binaan yang diperbuat dari kayu dan zink dengan keluasan 10,000 kaki persegi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 6.09 petang tadi dan operasi pemadaman api melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong.
Menurutnya, operasi turut mendapat bantuan dari BBP Jalan Perak, Balik Pulau dan Perai.
“Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah sebanyak 80 peratus dan kerja-kerja pemadaman serta pengawalan kebakaran sedang dijalankan sehingga kini.
“Operasi pemadaman turut dibantu oleh balai bomba berdekatan dan Pasukan Bomba Sukarela berhampiran. Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya kepada Kosmo! di sini sebentar tadi.
Setakat pukul 8 malam tadi, operasi mengawal kebakaran masih dijalankan di lokasi kejadian. -KOSMO! ONLINE