KLANG – Dua wanita berdepan detik cemas termasuk ditendang dan diacukan parang oleh suspek lelaki bertopeng di dalam sebuah kedai runcit di Bandar Parklands di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang, suspek tersebut berjaya melarikan dua utas rantai leher dianggarkan RM50, 000.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati seorang suspek bersenjatakan parang meluru masuk dan menuju ke seorang pelanggan berusia 59 tahun.
Katanya, suspek kemudiannya menarik rantai wanita berkenaan dan mengugut akan memotongnya sekiranya enggan memberikan rantai leher itu.
“Suspek juga didapati menendang pelanggan wanita tersebut ketika melakukan aksi samun itu sebelum menghampiri pemilik kedai yang juga wanita berusia 28 tahun.
“Takut keadaan itu, pemilik kedai itu terus membaling rantai leher yang dipakainya kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, suspek kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 warna kelabu dengan nombor pendaftaran palsu yang diparkir di luar kedai runcit.
Hoong Fong memaklumkan kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
“Usaha untuk mengenalpasti dan menangkap suspek terlibat sedang giat dilakukan pihaknya. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini ditalian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE