PETALING JAYA – Anak bongsu kepada pelakon Ayu Raudhah dan bekas pemain bola sepak terkenal, Zaquan Adha Abdul Radzak iaitu Muhammad Aisy Al Rees meninggal dunia di Seremban, Negeri Sembilan petang tadi.
Zaquan sebelum itu berkongsi berita duka dalam Instagramnya selain memohon orang ramai dapat mendoakan dia dan isteri kuat menghadapi kehilangan tersebut.
“Salam semua, anak bongsu kami Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha telah kembali kepada pencipta-Nya sebentar tadi.
“Doakan saya dan isteri kuat untuk dugaan ini,” katanya.
Difahamkan, jenazah Muhammad Aisy yang meninggal dunia ketika tidur masih berada di Hospital Rembau, Negeri Sembilan.
Terdahulu, Muhammad Aisy selamat dilahirkan pada 2 Ogos tahun lalu.
Ayu dan Zaquan berkahwin pada 21 Januari 2011 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tujuh cahaya mata termasuk Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann,11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang berusia setahun. – KOSMO! ONLINE