KOTA BHARU – Suami pempengaruh, Nur Syahirah Saufi, 28, yang meninggal dunia akibat sakit jantung selepas seminggu mendirikan rumah tangga terkilan apabila tidak sempat memakai sepasang baju Melayu pemberian arwah isterinya pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Nur Syahirah atau lebih dikenali sebagai SchaYang yang merupakan pempengaruh tinggi lampai itu melangsungkan perkahwinan dengan Muhammad Syahmi Zulkefli, 27, pada 30 Januari lalu sebelum meninggal dunia pada 6 Februari.
Muhammad Syahmi berkata, arwah isterinya membeli sepasang baju Melayu berwarna coklat yang akan dipakai pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, arwah Nur Syahirah sangat gembira apabila dapat membelikan baju tersebut selepas beberapa hari melangsungkan perkahwinan.
“Dia beli sepasang baju Melayu untuk saya pakai semasa Hari Raya Aidilfitri nanti tetapi tidak membeli baju kurung untuk dirinya sendiri.
“Kami sudah berpakat untuk memakai baju warna sedondon pada satu Syawal nanti, tetapi arwah hanya beli baju saya sahaja.
“Dia ada mengatakan bahawa akan membeli baju kurung yang berwarna sama dengan saya tidak lama lagi.
“Saya amat terkilan kerana arwah tidak sempat melihat saya memakai baju itu di depannya. Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Lawatan Prihatin Perkeso Kelantan di rumah mentuanya di Kampung Pengkalan Datu, Sering di sini semalam.
Muhammad Syahmi memberitahu, dia tidak menyangka usia perkahwinannya hanya selama seminggu sebelum kehilangan isteri tersayang.
Menurutnya, dia sebenarnya sudah terdetik untuk membeli baju kurung berwarna coklat kepada arwah isterinya apabila melihat kesungguhan Nur Syahirah merancang untuk berbusana sedondon semasa Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, hasratnya itu bagaimanapun tidak kesampaian apabila Nur Syahirah mengalami sesak nafas dan meninggal dunia akibat sakit jantung.
Media sebelum ini melaporkan, Nur Syahirah atau lebih dikenali sebagai SchaYang yang mempunyai lebih 96,000 pengikut di TikTok meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira pukul 11 malam pada 6 Februari lalu.
Nur Syahirah dan suami tular apabila menjadi pasangan yang mempunyai ketinggian luar biasa seperti Menara Berkembar Petronas meninggal dunia secara tiba-tiba selepas seminggu mereka mendirikan rumah tangga.
Terdahulu, Nur Syahirah tular di media sosial kerana ketinggiannya mencecah mempunyai ketinggian 186 sentimeter kerana dipercayai mengikut baka ibunya.