SUBANG JAYA – Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung video tular yang memaparkan dua individu lelaki bertindak melepaskan beberapa ekor ular di kawasan longkang Jalan Persiaran Putra Permai, Putra Heights, di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan berhubung kejadian dibuat oleh seorang lelaki tempatan di Balai Polis Putra Heights, 5.52 petang, 3 Februari lalu.
Katanya, pengadu mengesan video kejadian menerusi aplikasi WhatsApp dan melihat dua lelaki melepaskan tiga ekor ular sawa sambil dirakam seorang wanita di kawasan berkenaan.
“Pengadu datang ke Balai Polis Putra Heights membuat laporan kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga di kemudian hari serta untuk rujukan pihak berkenaan.
“Siasatan dijalankan oleh Ketua Polis Balai Putra Heights dan mendapati ular tersebut telah dilepaskan pada pertengahan bulan lalu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azlan, kes ini dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Terdahulu Kosmo! melaporkan dua lelaki didakwa melepaskan ular sawa ke dalam sebuah longkang, dipercayai berdekatan kawasan perumahan di Putra Heights, Subang Jaya.
Kejadian itu dirakam seorang individu dan dia turut memuat naik pada kumpulan Facebook Putra Heights Residents pada 3 Februari lalu dan kemudian, ia dikongsikan orang ramai hari ini.
Menerusi video dan gambar yang dimuat naik, dua individu tersebut menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard. -KOSMO! ONLINE.