DOHA – Bintang tenis Serbia, Novak Djokovic kini hampir pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring yang menamatkan kempen Terbuka Australia bulan lalu dan bersedia memburu gelaran ke-100 dalam kariernya di Terbuka Qatar.
Juara 24 kali Grand Slam itu, sebelum ini terpaksa menarik diri daripada perlawanan separuh akhir Terbuka Australia menentang Alexander Zverev akibat kecederaan yang dialami.
Kejadian itu mencetuskan kontroversi apabila dia menerima ejekan daripada penonton di Melbourne Park dan sebagai tindak balas, Djokovic memuat naik gambar imbasan MRI hamstring kirinya di media sosial dengan kapsyen sinis.
“Saya tinggalkan ini di sini untuk semua pakar kecederaan sukan di luar sana,” tulis pemain itu.
Setelah menarik diri daripada Piala Davis yang menyaksikan Serbia tewas kepada Denmark, Djokovic kini mendapat lampu hijau daripada pasukan perubatannya untuk kembali berlatih.
“Tiada lagi koyakan pada otot dan kecederaan ini hampir sembuh sepenuhnya. Pasukan perubatan sudah membenarkan saya kembali berlatih. Kejohanan di Doha dalam tempoh seminggu dan syukur saya dapat pulih dengan cepat,” katanya.
Pada Terbuka Qatar, Djokovic berpeluang menjadi pemain ketiga dalam era profesional yang mencapai 100 gelaran perseorangan, menyertai Jimmy Connors (109) dan bekas seterunya, Roger Federer (103).
Pemain nombor tujuh dunia itu kali terakhir meraih kejuaraan pada Olimpik Paris Ogos lalu, yang menjadi gelaran ke-99 dalam kariernya dan kini semua mata tertumpu kepada Djokovic di Doha yang mungkin mencatat sejarah baharu dalam karier luar biasanya. – AGENSI