KOTA BHARU – Suami kepada pempengaruh tinggi lampai, Nur Syahirah Saufi, 28, atau lebih dikenali sebagai SchaYang yang meninggal dunia akibat sakit jantung layak menerima pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan wang faedah pengurusan jenazah.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, arwah Nur Syahirah sebelum ini bekerja di sebuah butik spa di sini dan sudah mencarum dengan Perkeso selama 36 bulan.
Beliau berkata, suami arwah, Muhammad Syahmi Zulkefli, 27, layak menerima pencen penakat sebanyak RM470 sebulan dan wang faedah pengurusan jenazah RM3,000.
“Majikan kepada arwah wajar diberikan pujian kerana mencarum Perkeso untuk bekerja yang bekerja dengan syarikatnya.
“Sehubungan itu, semua pengusaha butik dan salun kecantikan perlu mengikut langkah syarikat tersebut dengan membuat caruman Perkeso supaya nasib pekerja terbela apabila berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Lawatan Prihatin Perkeso Kelantan di rumah keluarga arwah di Kampung Pengkalan Datu, Sering di sini hari ini.
Sementara itu, Muhammad Syahmi berkata, dia berniat untuk menyerahkan kesemua yang tersebut termasuk pencen penakat kepada ibu bapa mentuanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pertuturan.
Menurutnya, dia berharap wang tersebut dapat meringankan beban keluarga mentuanya sekali gus boleh digunakan untuk menyambut Ramadan tidak lama lagi..-KOSMO! ONLINE