PETALING JAYA – Dua lelaki didakwa melepaskan ular sawa ke dalam sebuah longkang, dipercayai berdekatan kawasan perumahan di Putra Heights, Subang Jaya.
Kejadian itu dirakam seorang individu dan dia turut memuat naik pada kumpulan Facebook Putra Heights Residents pada 3 Februari lalu dan kemudian, ia dikongsikan orang ramai hari ini.
Menerusi video dan gambar yang dimuat naik, dua individu tersebut menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.
“Ada orang telah melepaskan ular sawa ke dalam longkang berhampiran Pangsapuri Harmoni.
“Ada orang cuba berhentikan mereka, tapi dua orang ini enggan dengar,” katanya pada hantaran itu.
Tindakan mereka mendapat kecaman orang ramai terutama penduduk di kawasan tersebut yang mana kebimbangan ular sawa itu masuk ke dalam perumahan di situ.
“Lepaskan dalam hutan lah,” kata Kham Kamarul.
“Yang mana kata bukan ular tu, rajin-rajin lah tengok semua gambar dan video sampai habis. Terang-terang yang dikeluarkan tu ular,” komen Cik Anna.
“Kes jenayah ni, membahayakan penduduk,” kata Azmy Awang. – KOSMO! ONLINE