PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan tindakan sitaan terhadap barangan penjaja tanpa lesen dan skuter elektrik (beam) yang menghalang lalu lintas di beberapa lokasi sekitar ibu kota semalam.
DBKL dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, operasi yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Bukit Bintang DBKL itu memberi tumpuan sekitar Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang dan Jalan Bukit Bintang.
“Dalam tindakan khas yang dijalankan, sebanyak 12 kes tindakan sita telah dijalankan menerusi peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Antara barangan yang disita adalah meja, kerusi plastik, pakaian, skuter, payung dan lain-lain peralatan.
“Kesemua barangan yang dikenakan tindakan sita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” kata DBKL.
Dalam kenyataan sama, DBKL menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE