PHOENIX, ARIZONA – Sekurang-kurangnya seorang maut, manakala empat cedera selepas sebuah jet peribadi berlanggar dengan pesawat lain di sebuah lapangan terbang di negeri Arizona, lapor portal berita Mail Online semalam.
Jabatan Bomba Scottsdale berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 2.45 petang (waktu tempatan) di landasan Lapangan Terbang Scottsdale.
“Kami menemukan lima orang termasuk satu mayat, dua mangsa dibawa ke pusat trauma tempatan dan seorang lagi dikejarkan ke hospital berhampiran.
“Kami sedang berusaha untuk mengeluarkan satu lagi penumpang daripada salah satu kapal terbang,” kata Kapten Jabatan Bomba Scottsdale, Dave Folio.
Jurucakap Lapangan Terbang Scottsdale berkata, nahas berlaku semasa pendaratan di landasan 21.
“Pasukan bomba tiba di tempat kejadian untuk menilai keadaan. Buat masa ini, landasan telah ditutup,” katanya.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesahkan insiden itu membabitkan dua jet peribadi dan mengarahkan penangguhan sementara penerbangan masuk ke lapangan terbang.
“Sebuah Learjet 35A terbabas dari landasan selepas mendarat sebelum merempuh jet perniagaan Gulfstream 200 yang berada di kawasan parkir Lapangan Terbang Scottsdale.
“Jumlah sebenar penumpang di dalam kedua-dua pesawat masih belum diketahui. Siasatan sedang giat dijalankan,” tambah FAA. – AGENSI