LONDON – Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menggesa pemimpin dunia menjalani ujian HIV selepas beliau muncul perdana menteri Britain yang sedang dalam perkhidmatan dan pemimpin G7 pertama menjalani ujian tersebut di hadapan kamera.
Pejabat Starmer hari ini menyiarkan rakaman pemimpin itu menjalani ujian pantas di kediamannya di Downing Street sebagai menyokong minggu kempen kesedaran ujian HIV.
Beliau mengambil ujian itu pada Jumaat lepas.
Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom(UKHSA) menganggarkan seramai 4,700 orang hidup tanpa menyedari mereka menghidap HIV di England, manakala kempen ujian itu menjadi antara strategi utama untuk mengesan mereka.
Pada Disember 2024, Starmer memberi tumpuan kepada menamatkan kes HIV baharu di England menjelang 2030 menerusi ‘pelan tindakan HIV’ dengan memperincikan bagaimana ia akan mencapai sasarannya pada tahun ini.
“Tugas saya sekarang adalah bercakap kepada perdana menteri dan pemimpin di seluruh dunia dengan berkata, anda juga perlu melakukannya (mengambil ujian HIV) di negara anda sendiri,” katanya kepada akhbar Metro (Britain) selepas melakukan ujian tersebut.
“Jika orang ramai mengambil ujian, mereka akan mengetahui diri sendiri dan ini lebih baik.
“Mereka kemudian boleh mendapatkan akses rawatan dan ini juga dapat membantu dalam mencapai matlamat kita untuk menamatkan jangkitan HIV baharu menjelang 2030,” tambah Starmer. – AFP