RANCANGAN hiburan berkonsepkan pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) telah pun melabuhkan tirai pada Ahad lepas dengan menyaksikan penyanyi legenda, Liza Aziz dinobatkan sebagai juara.
Kemenangan penyanyi berusia 62 tahun itu sudah pun dijangka sedari awal dia mengalunkan vokal lunaknya pada konsert pertama.
Sebagai juara, Liza atau nama sebenarnya Norliza Abdul Aziz membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro.
Kemenangan Liza pada konsert akhir tidak semudah awal pertandingan. Pada peringkat akhir dia dicabar hebat oleh Ning Baizura yang turut mempamerkan persembahan memukau sekali gus dinobatkan sebagai naib juara dan membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta trofi.
Tempat ketiga menjadi milik Sheila Abdull, manakala tempat keempat disandang peserta dari Indonesia, Dadali Dyrga. Zehra Zambri pula menduduki tempat kelima dan The Lima di tempat keenam.
Kesemua peserta diberikan tiga cabaran berbeza iaitu persembahan solo, duet bersama artis jemputan dan battle bersama peserta lain.
Liza cemerlang dalam persembahan solonya membawakan lagu I Surrender nyanyian asal Celine Dion. Dendangan duetnya bersama penyanyi Indonesia, Krisdayanti menerusi lagu Cinta turut mendapat pujian juri tetap.
Menurut Datuk Syafinaz, Liza akhirnya berjaya mempamerkan kelembutan dalam nyanyiannya dan dia kelihatan hebat secara visual. Datuk Ramli MS pula berpendapat nyanyian Liza hampir tiada kesalahan terutamanya persembahan solo dan Liza menjadi satu-satunya peserta yang mendapat standing ovation daripada Hetty Koes Endang seterusnya menerima komen ‘geprek’.
Liza sewaktu ditemui pada sidang media usai konsert akhir berkata, segala pengorbanan dan penat lelahnya selama 12 minggu menghadapi cabaran GV11 akhirnya terbalas dengan kemenangannya sebagai juara.
“Sebenarnya saya tidak terfikir pun akan jadi juara pada malam ini (Ahad). Saya ingatkan Ning yang akan menang, tetapi saya bersyukur dengan kemenangan ini.
“Tidak dinafikan pengalaman saya dalam bidang nyanyian juga membantu, namun saya tetap belajar setiap kali dapat lagu baharu. Mungkin ada orang kata asyik dapat lagu ‘makanan’ saya. Sebenarnya tidak, saya belajar setiap lagu yang saya dapat daripada hari Isnin sampai Jumaat. Kalau ambil sambil lewa tak mungkin saya akan sampai tahap ini.
“Ada juga yang berkata saya asyik lihat lirik pada skrin, sebenarnya bukan saya tidak hafal, tetapi saya mahu memastikan saya tidak buat silap. Itu paling penting. Selain itu, setiap notasi kena tepat agar nyanyian tidak sumbang. Setiap hari saya ‘terpekik-pekik’ di rumah sampai kucing pun terkejut,” katanya kepada HibGlam.
Tambah anak kepada seniman Aziz Jaafar dan seniwati Normadiah itu lagi, dia juga berpantang daripada mengambil makanan pedas untuk menjaga suara.
Pernah dilabel sebagai penyanyi kurang dihargai di Malaysia, kata Liza, GV11 telah membuka satu pintu baharu buatnya dalam industri seni untuk lebih dikenali segenap lapisan masyarakat. Malah, ada menganggapnya sebagai bintang yang dilahirkan semula.
“Selepas menyertai GV11, saya semakin dikenali ramai. Budak-budak kecil pun kenal saya tetapi saya masih Liza Aziz yang dulu.
“Kepada penyanyi yang mungkin masih belum dikenali ramai biarpun sudah bertahun-tahun menyanyi, teruskan belajar. Jadi penyanyi yang bagus kemudian sertai GV. Saya sendiri banyak belajar di GV. Sebelum ini mungkin saya mempunyai kekurangan daripada segi penceritaan dalam persembahan tetapi selepas sertai GV, saya belajar perkara tersebut,” jelasnya.
Ditanya apakah perancangannya selepas ini, kata adik kepada penyanyi Azlina Aziz itu, dia merancang untuk membawa kakak dan beberapa saudaranya mengerjakan umrah menggunakan wang kemenangannya.
“Saya juga merancang untuk melakukan konsert bersama kakak selain mengeluarkan lagu baharu.
“Tetapi pada bulan Ramadan nanti saya akan ke Brunei selama sebulan kerana telah pun mendapat undangan di sana,” kongsinya.
Sementara itu, menurut Naib Presiden Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, GV terus kekal menjadi rancangan hiburan nombor satu di Malaysia sejak mula diperkenalkan 11 tahun lalu.
“Sejak diterbitkan 11 tahun lalu, GV masih menjadi program hiburan pilihan rakyat Malaysia dan terus mendominasi. Semua ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan semua.
“Saya pasti ramai yang tertanya-tanya adakah program ini akan disambung untuk musim ke-12.
“Jawapannya adalah ya. Kami sedang melakukan persiapan untuk menuju ke musim baharu yang pastinya akan menampilkan barisan peserta lebih gah,” ujarnya.
Gegar Vaganza telah banyak memberi peluang kepada bintang-bintang lama untuk membuat kemunculan semula di gelanggang seni muzik tanah air. Antara yang berjaya menyinar semula selepas menyertai program ini ialah Siti Nordiana, Elly Mazlein dan Naqiu. – KOSMO! ONLINE