Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) tidak akan goyah sebaliknya bersedia sepenuhnya untuk bersaing pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini.
Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan sebarang format pertandingan yang difikirkan terbaik untuk dilaksanakan pada kejohanan itu.
“Kalau dikatakan lebih mencabar, bukan kita saja yang akan berdepan cabaran itu sebaliknya semua pasukan lain juga sama.
“Jadi secara peribadi, saya okey dalam apa jua keadaan. Kalau bermain secara karnival pun, itu akan menjadi pengalaman berguna juga buat kami,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.
Kelmarin, laman media sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Tajikistan (FAT) mendedahkan, saingan peringkat kumpulan ACL 2021 akan berlangsung pada 14 April 2021 hingga 30 April 2021 bagi Zon Barat manakala zon timur pula bermula 21 April hingga 7 Mei depan.
Pendedahan itu menimbulkan cakap-cakap mengenai kemungkinan penggunaan format yang sama bagi pentas Piala AFC melibatkan KDA FC dan Terengganu FC.
Mengulas mengenai persediaan pasukan, Aidil berkata, ketika ini kecergasan pemain terus dipantau meskipun mereka tidak dibenarkan menjalani latihan secara bersemuka.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kedah, kami sempat berlatih beramai-ramai termasuk bersama beberapa pemain baharu dan import. Kesemua mereka memberikan yang terbaik terutamanya dari pada sudut komitmen dan kecergasan.
“Walaupun masih di peringkat awal, namun saya dapat ‘menghidu’ sesuatu yang elok iaitu kami memiliki sebuah pasukan di mana para pemain junior dan senior mampu bergandingan dengan cukup baik,” katanya.