BANGKOK – Seorang lelaki yang mempunyai masalah mental mengamuk di sebuah pusat beli-belah selepas telefon bimbit yang dihantar ke sebuah kedai untuk dibaiki gagal dipulihkan, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Kejadian berlaku di wilayah Khon Kaen, Thailand.
Beberapa video yang dikongsikan oleh media tempatan menunjukkan lelaki tersebut memarahi seorang pekerja selepas iPhone miliknya gagal dibaiki disebabkan dia tidak mengingati kata laluan peranti itu.
“Ini sudah banyak kali berlaku!” katanya sambil menjerit lalu memarahi seorang pekerja wanita.
Lelaki tersebut kemudian diiring keluar dari kedai sebelum dia berterusan membebel seorang diri di dalam pusat beli-belah dan meninggikan suara.
Menurut beberapa saksi, lelaki itu merosakkan beberapa barangan di dalam pusat beli-belah itu ketika dia keluar.
Dia turut merosakkan motosikal dan topi keledar milik pembeli lain di luar bangunan sebelum beredar dengan menunggang motosikalnya.
Pegawai-pegawai daripada Balai Polis Mueang Khon Kaen kemudian mengenal pasti lelaki itu sebagai Keerin dan berusia 26 tahun.
Hasil siasatan mendapati, dia menghidap masalah mental dan dijadualkan bertemu dengan doktor untuk temu janji seterusnya pada 28 Februari ini.
Adik Keerin kemudian memuat naik hantaran di media sosial yang memohon maaf kepada pekerja kedai terbabit serta pengunjung-pengunjung pusat beli-belah tersebut atas perbuatan abangnya.
Tiada individu cedera dalam kejadian itu, manakala Keerin dihantar ke sebuah hospital psikiatri untuk rawatan lanjut. – AGENSI