SHAH ALAM – Lama menyepi, kemunculan penyanyi terkenal era 80-an, Datuk Laila Utama Hajah Mazuin Hamzah di konsert akhir Gegar Vaganza musim ke-11 mencuri tumpuan ramai.
Masih jelita pada usia 61 tahun, ramai tertanya-tanya adakah penyanyi yang terkenal dengan lagu Cinta Palsu Itu bakal menyertai Gegar Vaganza musim hadapan.
Mazuin yang juga sepupu kepada penyanyi terkenal Amy Mastura itu pernah mencipta populariti pada era 80-an menerusi beberapa album solo dan duet bersama abangnya, Mazlan Hamzah serta kumpulan Quinary M.
Nama Mazuin menjadi sorotan ramai selepas dilamar putera raja Brunei Darussalam, Pengiran Muda Sufri Bolkiah. Beliau kemudian melangsungkan perkahwinan pada Disember 1987 dalam acara yang penuh gilang gemilang.
Namun jodoh pasangan ini tidak panjang apabila bercerai pada 2003. Bersama Pengiran Muda Sufri Bolkiah, Mazuin dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Yang Amat Mulia Pengiran Anak Ajeerah Firdausul Bolkiah, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raafiah Amalul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Khaaliq.
Sejak bercerai, Mazuin lebih selesa menjalani kehidupan privasi. Sesekali kelibatnya dilihat di beberapa majlis bersama rakan selebriti seperti Salwa Abdul Rahman.
Kehadiran Mazuin di konsert akhir GV11 seakan memberi bayangan bahawa dia sudah bersedia untuk kembali menjadi tumpuan lensa hiburan. – KOSMO! ONLINE