LONDON – Arsenal sukar untuk memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selagi mereka gagal mendapatkan khidmat seorang penyerang tulen dan Kai Havertz tidak boleh diletakkan harapan untuk menggalas tugas tersebut.
Pengkritik EPL, Graeme Souness percaya bahawa perkara yang membezakan antara Arsenal dan Liverpool dalam pemburuan gelaran juara musim ini adalah mengenai kemampuan mereka memburu jaringan dalam setiap perlawanan.
Beliau yakin bahawa Havertz bukanlah jawapan terbaik buat Arsenal untuk membantu pasukan itu meraih kegemilangan, malah menganggap pemain itu tidak pernah mencapai tahap terbaik sejak berhijrah ke Emirates dari Chelsea pada 2023.
“Mikel Arteta telah membina pasukan yang baik, tetapi mereka masih ada kekurangan iaitu pemain di bahagian serangan yang benar-benar mampu membantu mereka mencabar Liverpool.
“Mereka seakan sukar untuk mendapatkan penyerang sedangkan itu adalah elemen yang sangat penting untuk membina sebuah pasukan juara. Mereka kehilangan ramuan tersebut.
“Ia perbezaan yang jelas antara Arsenal dan Liverpool. The Reds memiliki penjaring gol yang lebih baik, itu bermakna mereka tidak perlu bermain dengan terlalu baik untuk menang dan bergantung kepada set-piece. Tanpa penyerang, Arsenal perlu sentiasa bermain baik,” katanya.
Arsenal mengeluarkan perbelanjaan sebanyak £65 juta (RM357.56 juta) untuk mendapatkan Havertz dengan keyakinan bahawa Arteta mampu untuk membentuknya menjadi pemain yang lebih baik.
“Saya bimbang perkara itu tidak berlaku. Havertz tidak mencapai tahap terbaik dan dia bukan jawapan yang Arsenal cari selama ini,” jelasnya. – AGENSI