SHAH ALAM – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berjaya menghalang kegiatan sebuah kilang pembuatan baja tanpa lesen yang disyaki dalam proses untuk membuang sisa kimia ke Sungai Kuang di Rawang selepas menyerbu premis itu kelmarin.
Tindakan pantas itu sekali gus mengelakkan sisa kimia tersebut daripada mengalir ke Sungai Kuang dan seterusnya ke Sungai Kundang dan Sungai Selangor yang menjadi sumber air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3.
Loji itu membekalkan air bersih kepada jutaan pengguna di Lembah Klang.
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, ketika serbuan pukul 3.30 petang itu, operator kilang terbabit sedang bersedia untuk mencuci tong intermediate bulk containers (IBC) bercampur sisa kimia.
Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa tong lain telah sempat dicuci operator terbabit sebelum ini apabila terdapat kesan-kesan aliran air cucian memasuki Sungai Kuang.
“Premis itu dipercayai baru seminggu beroperasi dan turut melakukan kerja sampingan iaitu mencuci tangki IBC.
“Ketika serbuan terdapat 60 tong IBC yang setiap satu berisi 1,000 liter sisa kimia sebelum bahan berbahaya itu dipercayai dilepaskan di Sungai Kuang berdasarkan penemuan satu saluran keluar ke sungai itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Jarak di antara kilang pembuatan baja itu dengan Sungai Kuang sejauh kira-kira 20 meter sahaja.
Nor Aziah berkata, IBC itu dipercayai dari kilang-kilang di sekitar Lembah Klang dan premis terbabit menjadi tempat pelupusan bahan kimia tersebut.
Kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan premis terbabit mengambil kesempatan menjalankan kerja-kerja mencuci IBC kerana beranggapan tiada rondaan dan tindakan penguatkuasaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
“Dalam serbuan itu, dua sampel cecair telah diambil untuk dianalisis.
“JAS turut merampas kelengkapan pencucian melalui pengeluaran notis Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” ujarnya.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan setakat ini sehingga kertas siasatan lengkap. Difahamkan, kilang tersebut telah disita Majlis Perbandaran Selayang semalam.
Pada 15 Januari lalu, Kosmo! melaporkan kawasan sungai dan takungan air di sekitar Selangor yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk bakal berdepan dengan ancaman sisa buangan.
Ia berikutan 6,136 daripada 12,764 kilang berdaftar yang beroperasi di negeri itu didapati berpotensi untuk melakukan pencemaran air.