LONDON – Pengurus Liverpool, Arne Slot tidak pernah menyesal dengan keputusannya untuk tidak menyenaraikan skuad terbaik ketika tewas 0-1 kepada Plymouth dalam aksi Piala FA, kelmarin.
Slot menegaskan fokus utamanya sekarang lebih tertumpu kepada perlawanan derbi Merseyside menentang Everton, awal pagi Khamis ini bagi memastikan pasukan itu terus selepas menguasai puncak Liga Perdana Inggeris.
“Tidak (kesal) kerana kamu pun tidak tahu apa yang akan berlaku jika kami menurunkan kesebelasan utama. Sebelum ini juga kita sudah lihat beberapa kali pemain terbaik kami pernah berdepan kesukaran.
“Saya fikir kami sudah tunjukkan kenapa kami perlu menurunkan pemain-pemain ini. Kami memerlukan mereka bagi mengekalkan rentak untuk membantu pasukan dalam perlawanan akan datang sekiranya pemain tonggak berdepan masalah.
“Keputusan kali ini sudah tentunya memberikan kekecewaan dan cara kami bermain. Cuma saya gembira melihat cara pemain berjuang sepanjang perlawanan dan paling terbaik adalah pada 10 minit terakhir,” katanya.
Slot turut memberikan kredit kepada aksi cemerlang yang dipamerkan oleh Plymouth apabila menyifatkan pasukan itu memiliki pelan permainan yang cukup baik dan bekerja keras sepanjang perlawanan tersebut.
Kekalahan ini menjadi kejutan terbesar dalam saingan Piala FA kali ini, menyaksikan Ryan Hardie menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti di awal babak kedua untuk kemenangan Plymouth. – AGENSI