KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi memulakan prosiding komital terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenai sebagai Papagomo kerana tidak mematuhi perintah mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong memutuskan demikian selepas pendengaran permohonan itu secara ex-parte (sebelah pihak) oleh peguam Raam Kumar dan Norleena Jamal, yang mewakili Razarudin.
“Tarikh pendengaran permohonan komital inter-parte (kedua-dua pihak) akan ditetapkan kemudian,” kata Techiong.
Prosiding komital adalah satu prosiding untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap seseorang yang dikatakan menghina mahkamah dengan melanggar perintah yang telah dikeluarkan.
Pada 24 Januari lalu, Razarudin memfailkan permohonan komital terhadap Wan Muhammad Azri kerana menghina mahkamah berikutan tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Januari dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X serta akaun Telegram.
Injunksi itu ialah melarang dan menghalang defendan atau wakilnya daripada menerbit atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan, video dan status serta komen atau sebarang bentuk rujukan kepada plaintif.
Kenyataan, video status serta komen itu berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi sama ada secara bertulis, lisan atau dalam talian di platform media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas, seperti Telegram dan WhatsApp.
Pada 26 Disember tahun lalu, Razarudin memfailkan saman RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – KOSMO! ONLINE