MELAKA – Seorang lelaki bertindak membaling sofa dan tong gas dari tingkat lima pangsapuri rumahnya di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini, hari ini selepas berang permohonan cutinya tidak diluluskan.
Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, hasil siasatan awal, lelaki berusia 25 tahun itu bertindak agresif selepas mendapat tahu permohonan cutinya tidak diluluskan oleh majikan.
“Difahamkan dia membuat permohonan cuti itu untuk pulang ke kampung halaman bagi menziarahi bapanya yang sakit.
“Berang permohonannya ditolak, lelaki tersebut bertindak membaling sofa dan tong gas masak dari tingkat lima ke bawah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, bagaimanapun barang-barang tersebut hanya mengenai kereta penduduk di kawasan itu.
“Nasib baik ketika kejadian tiada individu berada di laluan tersebut dan barang-barang yang dibaling telah menghempap beberapa buah kereta yang diparkir di bawah.
“Susulan kejadian kita telah menahannya sebelum dihantar ke Hospital Melaka kerana dipercayai dia menghidapi sakit mental,” katanya.-K! ONLINE