LIVERPOOL – Pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum mengakui dia dan rakan sepasukannya tidak begitu ‘ghairah’ untuk mencari gol ketika dikejutkan oleh Burnley awal pagi semalam.
Menurut Wijnaldum, kegagalan Liverpool mendapatkan jaringan dalam empat perlawanan terakhir adalah disebabkan mereka semakin hilang naluri untuk ‘memusnahkan’ pasukan lawan terutama di kawasan 20 meter dari pintu gol.
“Ia keputusan yang sukar. Sebelum perlawanan kami bersemangat untuk menentang Burnley. Kami mahu menguasai bola dan keseluruhan perlawanan.
“Kami mencipta banyak peluang menjaringkan gol tetapi malangnya ia tidak berlaku. Kami tidak begitu kemas dan mereka berjaya mendapatkan sepakan penalti.
“Kami mempunyai peluang yang 100 peratus mampu melakukan jaringan. Sekarang kami berdepan situasi yang sulit untuk menjaringkan gol. Sukar untuk diterangkan keadaan kami ketika ini dan mereka di luar menganggap kami mula hilang keyakinan.
“Tetapi, saya fikir kami masih mampu melakukannya. Anda membuat percubaan ke arah penjaga gol dan mendapat peluang yang banyak tetapi kami tidak sepenuh hati ingin menjaringkan gol.
“Kami perlu melupakan seketika kemahuan untuk mempamerkan aksi menarik tetapi memberikan persembahan untuk menang. Aksi seterusnya menentang Manchester United dan kami perlu cuba untuk memenanginya,” katanya.
Liverpool bakal berdepan United pada aksi pusingan keempat Piala FA awal pagi Isnin di Old Trafford sebelum bertemu Tottenham Hotspur pada aksi liga pada 29 Januari nanti. – AGENSI