GERIK – Bomba mengambil masa hampir 12 jam untuk membawa keluar seorang wanita Orang Asli yang cedera akibat dipatuk ular di Kampung Lenweng, Pos Kemar di sini, hari ini.
Maklumat mengenai mangsa, Ana Along, 32, yang dipatuk ular sejak Selasa lalu dan mengalami gejala muntah serta tidak mampu berjalan itu diterima pada pukul 3 petang semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, untuk sampai ke kampung itu, anggota bersama pasukan polis dan malim gunung perlu melalui kawasan yang berbukit dan melintasi sungai.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan Pengkalan Hulu diatur gerak ke kampung yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Pos Kemar.
“Operasi membawa keluar mangsa bermula pukul 8 pagi dan tiba di Pos Kemar pada 7 petang. Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Pos Kemar namun pegawai perubatan memaklumkan wanita itu perlu dibawa ke hospital dengan segera.
“Pasukan penyelamat tiba di sana pada tengah malam tadi dan dalam perbincangan bersama pegawai perubatan, mangsa perlu dibawa keluar segera bagi mendapatkan rawatan,” katanya di sini hari ini.
Operasi membawa keluar mangsa ke hospital itu disertai lima anggota bomba bersama dua anggota polis dan dua malim gunung. – KOSMO! ONLINE