KULAI – Nahas melibatkan bas ekspres dan sebuah lori tangki di Kilometer 35.3, Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini berpunca apabila pemandu bas memandu terlalu laju sehingga gagal memberhentikan kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, akibat kejadian itu, seramai 21 penumpang bas mengalami cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Kulai, di sini.
“Kemalangan itu berlaku pada pukul 2.45 pagi melibatkan bas jenama Hino dan lori Volvo.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas memandu laju dan gagal memperlahankan kenderaan sehingga merempuh belakang lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seng Lee memberitahu, kemalangan itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik di talian 013-7778884. Pengguna jalan raya diingatkan untuk memandu secara berhati-hati dan mematuhi undang-undang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.- KOSMO! ONLINE