PETALING JAYA – Pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) menyambut baik inisiatif Usanita dalam menjalin kolaborasi strategik yang berimpak tinggi, khususnya melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Sekolah Perniagaan Saïd, Universiti Oxford.
Presiden Badan Perhubungan Negara London Muhammad Ali Najmi Azizi berkata, kolaborasi seperti itu dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan antara keduadua negara dan meningkatkan daya saing graduan Malaysia.
“Saya berharap modul pembelajaran di bawah kerjasama Usanita dan Universiti Oxford tersebut akan turut merangkumi kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI) agar pelajar lepasan ijazah Malaysia yang menyertai kursus tersebut mampu bersaing dalam era Revolusi Industri 4.0.
“AI kini menjadi asas utama dalam pelbagai sektor seperti kejuruteraan, kesihatan, perniagaan dan kewangan. Kursus sebegini akan memberikan kelebihan kompetitif kepada pelajar serta lepasan siswazah Malaysia dalam kerjaya dan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datin Seri Adzliana Hasan berkata, beliau sentiasa mendapatkan maklumbalas dari pelbagai pihak bagi memastikan program dan kursus yang ditawarkan melalui kolaborasi dengan Universiti Oxford memenuhi keperluan semasa dan akan datang.
Menurut beliau, Usanita juga komited untuk terus menyokong pelajar Malaysia dalam aspek pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kemahiran profesional termasuk menerusi program yang akan dilaksanakan di Universiti Oxford.
“Kami percaya bahawa pelajar Malaysia adalah aset negara yang perlu dibimbing dan diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan agar mampu bersaing di peringkat global.
“Kejayaan Usanita menandatangani MoU dengan Universiti Oxford membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu mencapai kejayaan hebat jika diusahakan dengan strategi yang tepat,” katanya.
Beliau berkata kolaborasi tersebut juga akan memberi manfaat besar kepada pelajar dan graduan dalam meningkatkan daya saing mereka dalam industri masa depan. -KOSMO! ONLINE.