PETALING JAYA – Tahap keselamatan di pusat beli-belah dan lokasi tumpuan ramai di seluruh negara akan diperketatkan susulan insiden tembakan di Setia Alam, Shah Alam semalam.
Malah kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, anggota polis bantuan dan pengawal keselamatan yang sentiasa berada di lokasi tumpuan juga diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan sebarang aktiviti mencurigakan.
Menurut Razarudin, jaminan keselamatan kepada orang awam sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.
“Susulan insiden semalam, Polis Selangor telah mengenal pasti suspek dan usaha mengesannya (suspek) sedang dilakukan.
“Pihak polis juga telah menghubungi pihak berkuasa di negeri-negeri berhampiran negara jiran untuk meningkatkan pemantauan,” katanya.
Razarudin berkata, pihaknya meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Kami memahami pelbagai kebimbangan telah timbul susulan kes (tembak) ini, tetapi kami berharap orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang tukang cuci cedera ditembak seorang lelaki dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, malam tadi.
Kejadian pada pukul 10 malam itu menyebabkan mangsa warga asing yang berusia dalam lingkungan 30-an cedera di punggung dan kaki.
Usaha memburu suspek warga tempatan sedang giat dijalankan– KOSMO! ONLINE