BESUT – Seorang nelayan maut akibat lemas selepas tercampak ke dalam laut akibat bot dinaikinya dilambung ombak besar di muara Sungai Keluang di sini hari ini.
Mayat mangsa, Mohd. Fatihil Asrol Mat Zailani, 39, ditemui terdampar berhampiran lokasi dia terjatuh oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 12.40 tengah hari.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzhamq Zulkifli berkata, sewaktu kejadian, nelayan itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke jeti berhampiran selepas menangkap ikan di laut.
“Bot dinaiki mangsa dikatakan dilambung ombak besar sewaktu memasuki muara Sungai Keluang membuatkan dia tercampak ke dalam laut.
“Sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat maklumat pada pukul 10.15 pagi,” katanya ketika ditemui di tebing Sungai Keluang di sini hari ini.
Muhammad Azrul Izzham berkata, mayat Mohd. Fatihil Asrol berjaya ditemui terdampar di kawasan muara sungai itu setelah hampir tiga jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.
Beliau berkata, operasi SAR terbabit turut melibatkan 41 anggota agensi penyelamat lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Mayat mangsa (Mohd. Fatihil Asrol) telah diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini bagi tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE