KOTA TINGGI -Kementerian Pertahanan (Mindef) berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan tapak bagi pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bintulu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek tersebut merupakan projek yang penting dan beliau juga telah mengarahkan kementerian untuk menyegerakan proses berkenaan.
“Saya telahpun mengarahkan kementerian untuk menyegerakan kerana markas wilayah laut timur diperlukan untuk kita menampung kapal-kapal kapal misi pesisir (LMS) yang dijangka siap dalam tahun 2027 akhir.
“Kita telahpun memesan untuk membuat perolehan memuktamadkan perolehan untuk tiga buah kapal LMS daripada Turki dijangka siap 2027 dan pengkalannya dijangka adalah di wilayah timur,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata sebanyak RM132,000 sumbangan diberikan kepada semua 28 masjid dan 48 surau dalam parlimen itu bagi mengimarahkan bulan Ramadan tidak lama lagi.
Katanya peruntukan itu melibatkan RM54,000 untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama manakala RM78,000 bagi DUN Sedili dimana setiap masjid menerima RM3,000 manakala surau RM1,000. – KOSMO! ONLINE