ALOR SETAR – Seorang pekerja swasta dari Johor mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan rasuah wang tunai RM5,000 kepada seorang anggota imigresen, tahun lalu.
Tertuduh, Teo Wei Chin, 34, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang Penolong Penguasa Imigresen KP29 Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 6.30 petang, 6 Ogos 2024.
Perbuatan itu didakwa sebagai balasan membenarkan seorang wanita Thailand iaitu Phailin Chaitamatr masuk ke Malaysia walaupun tidak memenuhi syarat sebagai pelancong selaras Pekeliling Imigresen Malaysia Terhad (PIMT) 10/27.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin dan Ahmad Fariz Abdul Hamid mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 25 Mac depan untuk menjatuhkan hukuman dan membenarkan tertuduh yang diwakili peguam, Wong Vi Vian dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM7,000 sementara menunggu prosiding tersebut. – KOSMO! ONLINE