SARATOK – Lima sekeluarga cedera parah selepas Perodua Kancil dinaiki mereka terbabas ke dalam parit berhampiran perumahan kilang Melupak Kaki Wong di sini pada awal pagi tadi.
Kesemua mangsa terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia dalam lingkungan 25 hingga 69 tahun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 5.58 pagi dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok ke lokasi yang terletak 13 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan yang remuk menggunakan kaedah pemotongan dan renggangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya setelah berjaya dikeluarkan, kesemua mangsa kemudian dibawa oleh pasukan EMRS dan juga ambulans ke hospital. – KOSMO! ONLINE