PONTIAN – Kerajaan negeri menubuhkan pasukan khas bagi menyelesaikan isu-isu tertunggak yang melibatkan projek berimpak tinggi di Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pasukan itu juga akan memastikan projek-projek tersebut akan siap dilaksanakan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan.
Katanya, di peringkat Johor sendiri, isu berkaitan tanah telah membelenggu dan menyebabkan kelewatan beberapa projek yang sepatutnya disiapkan seperti dirancang.
“Kejayaan awal pasukan khas ini adalah berkaitan projek tebatan banjir di mana akan dapat disiapkan dua tahun lebih awal dari 2029 kepada 2027,” katanya selepas melancarkan program Jelajah Orang Johor (JOJ) di Komplek Penghulu Mukim Serkat, di sini pagi ini.
Menurut Onn Hafiz, sebarang kelewatan sesuatu projek seperti tebatan banjir akan menyebabkan penduduk menerima kesannya apabila terpaksa berdepan bah setiap tahun.
“Sebelum ini mengikut jadual, ia akan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan, tetapi dengan adanya pasukan khas, kerja-kerja akan dapat disiapkan lebih awal,” katanya. – KOSMO! ONLINE