PUTRAJAYA – Sering menjayakan watak antagonis, pelakon Fadlan Hazim pernah berdepan situasi dimarahi dan dipukul individu tidak dikenali ketika berada di tempat awam.
Menurut Fadlan atau Fadlan Hazim Anuwar, 33, terdapat juga segelintir individu yang berani menghantar mesej ancaman sehingga menuntutnya membuat laporan polis.
“Sekitar 10 tahun lalu saya pernah kena hempuk dengan seorang mak cik ketika berada di sebuah kedai serbaneka.
“Tahun lalu pula ada seorang pak cik tegur dan seperti nak meludah ke muka saya.
“Saya juga pernah menerima DM (direct message) yang agak serius. Orang begini yang perlu saya risau dan sebab itu saya buat laporan polis,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis tayangan istimewa bersama peminat drama Curang Tanpa Niat baru-baru ini.
Bercerita tentang watak Uncle Bengkel dalam Curang Tanpa Niat, dia mengakui karakter tersebut mencabar kemampuan dirinya sebagai pelakon.
“Sebelum ini sudah terlalu kerap saya bawa watak jahat dan kali ini jadi lelaki baik pula. Jadi, agak sukar sehingga pengarah perlu beri panduan ubah reaksi muka.
“Tapi syukur peminat beri respons yang sangat baik.
“Sebelum ini komen dalam media sosial penuh dengan kecaman tetapi sekarang orang sudah mula sayang,” ujarnya.
Selain Fadlan drama arahan Eyra Rahman itu turut dibintangi Shukri Yahaya, Mira Filzah, Sharifah Sakinah dan Fauzi Nawawi. – KOSMO! ONLINE