PETALING JAYA – Dosa pertama yang tidak akan diterima amalan dan ibadatnya adalah orang yang memakan harta atau duit haram.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, Allah S.W.T tidak akan menerima ibadat serta amalan baik jika seseorang itu pernah makan duit atau harta haram sebelum ini.
“Yang pertama adalah seorang yang makan harta haram, harta anak yatim. Dosa ini tidak akan diterima ibadatnya (solat) selagi tidak membayar balik harta haram itu.
“Kedua adalah dosa orang yang pergi kepada tukang tenung atau tukang sihir untuk merosakkan orang walaupun dia hanya pergi jumpa sahaja tukang sihir itu,” jelas beliau dalam satu video sesi permasalahan agama di Facebook baru-baru ini.
Dosa ketiga jelas Azhar adalah, makan makanan haram seperti arak kerana dosa itu juga Allah S.W.T tidak akan menerima ibadat dan amalan baiknya yang lain.
“Paling akhir adalah golongan yang buat dosa hasad dengki. Dalam hadis siapa yang ada dosa hasad dengki seperti terbakar amalan yang dilakukan mereka selama ini seperti api membakar kayu kering,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE.