MALE – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila jarinya digigit seekor jerung ketika berenang bersama ikan pemangsa itu di Kepulauan Maldives, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @leaptravellers menunjukkan wanita itu terapung di atas air sambil ditemani kawanan ikan kecil dan jerung.
Dia kemudian menjerit apabila seekor jerung itu menggigit tiga jarinya.
Wanita dikenali sebagai Chels berkata, dia terkejut kerana jerung itu dianggap salah satu spesies paling mesra dan tidak berbahaya.
Mangsa dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan lanjut.
Rakaman itu mencatatkan lebih 429,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
“Mujur jari, bukan seluruh tangan,” kata seorang netizen.
“Anda perlu bersyukur kerana masih hidup,” kata netizen lain. – AGENSI