TALLAHASSEE, FLORIDA – Seekor jerung putih yang digelar sebagai jerung paling besar di dunia, ditemui dekat pantai negeri Florida di Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar The Sun UK semalam.
Pemangsa gergasi sepanjang 4.26 meter itu didapati berenang di Lautan Atlantik sebelum mengembara ke selatan.
Penyelidik OCEARCH berkata, jerung tersebut memiliki berat hampir 725.77 kilogram, menjadikannya ikan pemangsa terbesar pernah ditemui.
Jerung itu pertama kali dikesan kira-kira 72.42 kilometer dari sempadan Florida-Georgia pada 17 Januari lalu.
“Jerung ini digelar sebagai ‘pahlawan lautan yang agung’ dan merupakan spesies jantan,” tambahnya.
Pakar-pakar biologi menjelaskan bahawa jerung kerap ‘melawat’ perairan Florida semasa musim luruh dan musim sejuk untuk mencari makanan. – AGENSI