SHAH ALAM – Kerana jari badan merana. Seorang peniaga online didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari atas tuduhan membuat komen jelek di laman Facebook miliknya terhadap Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bulan lalu.
Hakim Rihaida Rafie turut memerintahkan penjara dua bulan sekiranya tertuduh, Siti Nurul Ain Mat Nayan, 32, gagal membayar denda tersebut.
Terdahulu, Siti Nurul Ain mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula kepadanya.
Kesalahan itu dilakukan di Istana Mestika, Seksyen 7, pukul 10.26 pagi pada 26 Jun lalu.
Justeru, dia dakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pada prosiding itu, Siti Nurul memohon maaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu selain akan lebih berhati-hati sekiranya melakukan sebarang hantaran di media sosial.
“Saya dihina akibat memuat naik komen itu sedangkan niat sebenar bukan sebegitu.
“Saya juga mempunyai anak perempuan berusia tiga tahun yang kini trauma dan menangis setiap hari selain gaji suami sebagai penghantar aplikasi makanan terjejas kerana komen tersebut,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Nurbaizura Mohd. Saubian kemudiannya memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik komen yang boleh menyakiti orang lain.
“Selain itu, memberikan pengajaran kepada masyarakat secara umumnya supaya tidak menggunakan media sosial secara melulu tanpa mengambil kira kesan dan perbuatan tersebut,” tegasnya. – K! ONLINE