BUSANA kasual yang merujuk kepada pakaian dengan gaya bersahaja, santai dan sesuai sebagai gaya harian menjadi antara gaya paling popular di dunia, khususnya dalam kalangan orang Barat.
Gaya kasual bahkan disifatkan sebagai gaya yang menterjemah kebebasan kerana cara penggayaannya yang kurang sekatan.
Label fesyen tempatan juga dilihat menawarkan pelbagai seleksi busana kasual yang sesuai digayakan oleh semua golongan untuk gaya harian yang selesa, khususnya dalam cuaca Malaysia.
Justeru, sebagai memenuhi permintaan peminat gaya tersebut, label fesyen Amber Official baru-baru ini memperkenalkan busana kasual uniseks dinamakan AMBR.
Pengasas label Amber Official, Datuk Adzliana Hasan berkata, untuk tahun ini, label yang terkenal dengan pakaian bercorak bunga itu tampil dengan sesuatu yang baharu dan lebih minimalis.
“Buat koleksi sedia pakai atau ready to wear Amber Officials, kami menggelarnya sebagai AMBR yang menampilkan busana kasual untuk lelaki dan wanita.
“Jika sebelum ini, Amber terkenal dengan busana bercorak bunga, untuk tahun ini pula, direction Amber Official adalah sedikit berbeza menerusi pelancaran koleksi kasual.
“Hal ini kerana saya melihat busana ini sedang mendapat perhatian daripada orang-orang di luar sana yang sukakan gaya sebegini,” tutur Adzliana.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/4dddsx.jpg)
AMBR menampilkan seleksi pakaian buat lelaki dan wanita yang dihasilkan daripada fabrik bermutu tinggi seperti kapas dan juga gabungan poliester dan spandeks.
Antara busana yang diperkenalkan termasuk oversized hoodie, kemeja-T oversized, kemeja-T polo lengan panjang, skirt kembang labuh dan topi.
Pemilihan warna-warna tanah seperti coklat, putih dan hijau zaitun menjadi taruhan, khusus buat mereka yang sukakan gaya ringkas dan mudah disuai padan dengan baju sedia ada.
Selain koleksi sedia pakai, Amber juga menawarkan perkhidmatan Amber Bespoke kepada pelanggan yang ingin mendapatkan pakaian secara tempahan khas (custom-made).
Perkhidmatan itu membolehkan pelanggan memilih rekaan, fabrik, dan kemasan mengikut cita rasa dan keperluan mereka, memberikan sentuhan peribadi yang unik kepada setiap busana.
“Kami memahami bahawa setiap individu adalah unik dan Amber Bespoke direka untuk memenuhi kehendak dan gaya peribadi pelanggan kami.
“Dengan perkhidmatan ini, kami memastikan setiap pelanggan mendapat pengalaman premium yang benar-benar eksklusif,” katanya.
Bercakap tentang pemilihan barisan selebriti sebagai wajah baharu AMBR seperti Fattah Amin, Sofia Albarakbah, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Aina Abdul dan Nora Danish, Adzliana memberitahu kesemua mereka mempunyai
tarikan tersendiri yang boleh memperkenalkan lagi Amber Official sebagai sebuah jenama yang relevan kepada semua peringkat masyarakat.
Berkongsi perasan terpilih sebagai wajah AMBR, pelakon popular Fattah Amin berkata, dia teruja untuk memperkenalkan rangkaian itu kepada peminatnya yang meminati gaya kasual.
“Bagi saya, rangkaian pakaian AMBR adalah sangat bermutu tinggi dengan rekaan yang menarik.
“Bahkan, busana kemeja-T polo dalam rona hijau zamrud, putih dan merah yang saya gayakan ini juga cukup selesa dipakai. Secara ringkasnya saya amat berpuas hati dengan baju ini,” katanya.
Koleksi AMBR didapati di butik flagship Amber Official yang terletak di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, butik Amber Official di Wangsa Walk dan semua platform online jenama itu.